08 September 2009

MALAM LAILATUL-QADAR

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah s.w.t . Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.
Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Qadr : 3 :-
“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu malam”
Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w:-
“Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu”
Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan :
“Rasulullah s.a.w berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain”
Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. Bersabda :-
“Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil”
Pendapat yang kuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul-Qadar adalah pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula adalah pada malam 27 Ramadhan, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya”.
Daripada riwayat Mu'awiayah :-
“Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda malam Lailatul-Qadar iaitu malam ke-27”
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang menguatkan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu jatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Umar r.a :-
“Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27”
Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah, katanya, “Ya Rasulullah s.a.w andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan ? Rasulullah s.a.w lalu berdoa dengan doa :-
“Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku”.

Semoga dengan kedatangan 10 akhir Ramadhan tahun ini kita berusaha menambah amalan kita untuk mencari malam Lailatul-Qadar yang dijanjikan Allah kepada umatnya dengan pahala yang berlipat kali ganda.

___________________________________________