08 November 2008

Ibadah Yang Sahih


Apakah tujuan penciptaan manusia? Jikalau mengikut fahaman Darwin, manusia diciptakan secara berevolusi daripada haiwan atau khususnya beruk lantas manusia itu tidak ada tujuan ia diciptakan melainkan hanya hidup, berevolusi dan akhirnya mati begitu sahaja. Kesudahan itu masih belum jelas. Sungguhpun begitu, sebagai manusia dan muslim yang waras, kita haruslah sedar bahawa Allah S.W.T jualah pencipta kita dan penciptaan kita ada tujuan tertentu. Sebagai seorang mechatronic engineer misalnya, beliau akan menciptakan robot yang dapat berlawan sumo dan sebagai seorang pharmacist kemungkinan mencipta formula ubat untuk kebajikan dan kesihatan manusia sejagat. Lantas, perlu difahami dan diteliti sewajarnya, apakah tujuan umum penciptaan manusia.
Allah berfirman dalam surah Adz- Zariyat ayat 56;

”Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku."
Jelas di atas, tujuan penciptaan manusia hanyalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T. Agama Islam bukanlah agama yang ritual semata-mata. Masyarakat secara umumnya, bila disebutkan ibadat , maka lingkungan minda mereka hanya tertakluk perkara-perkara khusus misalnya solat fardhu, puasa, zakat dan sebagainya dan tidak lebih dari itu.
Apabila kita bicarakan soal ibadah, umumnya ia terbahagi kepada 3 cabang; adanya ibadah khusus, yakni ibadah fardhu dan ibadah sunat serta ibadah umum. Ibadah khusus ialah ibadah yang telah ditetapkan oleh syarak, seperti solat subuh, zuhur dan seterusnya manakala ibadah umum adalah apa jua perlakuan selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak.
Namun, sesuatu ibadah itu ada syaratnya untuk diterima oleh Allah S.W.T. Syaratnya itu ada 2;
i) Sesuatu amalan dan ibadah itu seharusnya dilaksanakan dengan ikhlas hanya untuk Allah S.W.T.
ii) Sesuatu amalan dan ibadah itu seharusnya bertepatan dan selari dengan syariat Allah S.W.T.
Di dalam Islam, tidak ada istilah “matlamat menghalalkan cara”. Jika dilihat di persekitaran dunia hari ini, masyarakat seolah-olah hanya memikirkan soal niat sahaja apabila melakukan sesuatu tanpa memikirkan adakah perbuatannya itu dilandaskan kepada syariat ataupun tidak.
Kita mengambil suatu analogi mudah, Robin Hood misalnya, dia merompak kerana ingin membantu golongan miskin. Jelas sekali niat yang disandarkan adalah baik tetapi caranya itu tidak sama sekali berlandaskan syariat yang dibolehkan oleh agama. Malah agama meletakan hukuman hudud yang keras terhadap orang yang merompak.
Sungguhpun begitu, amalan itu sahaja belum memadai untuk ia diterima oleh Allah azzawajalla. Sesuatu amalan itu haruslah disandarkan niat kerana Allah Taala. Ini jelas dalam hadis Rasulullah yang bermaksud;
“Sesungguhnya, segala amalan itu hanyalah (sah atau sempurna) dengan niat”
Kaum muslimin yang dihormati sekalian, begitu mudah untuk mendapat pahala kerana asalkan kita mempunyai niat yang bersih dan kerana Allah disertakan pula amalan seharian kita yang seiring dengan syariat Allah, itu sudahpun memenuhi syarat-syarat yang telah diletakkan.
Daripada Sa’ad bin Abi Waqqash daripada Rasulullah s.a.w bersabda;
“Sesungguhnya apa sahaja yang kamu belanjakan demi mencari keredhaan Allah, pasti diganjari pahala hinggakan sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isteri kamu”
Lantas, daripada hadis tersebut jelas membuktikan bahawa amalan yang berteraskan atau semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, ianya tidak akan disia-siakan oleh Allah.
Rasulullah s.a.w juga bersabda;
“Barang siapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) ini sedangkan ia bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak”
Jelas hadis ini menolak sebarang bentuk bidaah yang tidak berteraskan sunnah. Kita maklum manusia secara fitrahnya ingin melakukan lebih dari sesuatu yang dituntut untuk menarik hati seseorang. Sebagai contoh, di dalam pejabat, seorang pekerja biasa seharusnya akan berusaha gigih untuk mengambil hati bosnya ataupun untuk mendapat kenaikan pangkat dengan lebih cepat. Begitu juga soal kita sebagai hamba dan Allah sebagai tuhan kita. Namun, kita tidak harus sewenang-wenangnya mengadakan ibadah tambahan rekaan sendiri ataupun melakukan zikir yang melampau-lampau hinggakan terlompat sana dan sini. Rata-rata alasan yang diberi apabila ditegur tentang ibadat mereka ialah mereka hanya melakukan “extra ibadah” kepada Allah. Jelas di sini, matlamat di dalam Islam tidak pernah menghalalkan caranya.
Sebagai seorang Islam, kita seharusnya mengambil inisiatif untuk mempelajari selok-belok ibadah yang berasaskan sunnah. Seboleh-bolehnya kita tahu apa dalil yang menganjurkan kita berbuat itu dan ini dalam ibadah seharian terutama yang melibatkan ibadah khusus. Kita semestinya tidak hanya menjadi pak turut sahaja melainkan kita mempunyai kepercayaan terhadap seseorang inividu itu yang mana peribadinya itu sendiri menjelaskan kewarakannya kepada Allah s.w.t. Amat dikesali,masih dapat dilihat bidaah yang dilakukan masyarakat khasnya di Malaysia.
Pokoknya, ia berbalik kepada soal niat kerana Allah s.w.t dan amalan itu berlandaskan syariat Allah s.w.t dan berpandukan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai muslim dan khalifah di bumi ini, kita seharusnya menjadi pewaris nabi, menjalankan kehidupan yang berasaskan sunnah nabi dan juga hidup berlandaskan Al-Quran. Justeru, berusahalah dalam mendalami ilmu agama dan berusahalah dalam apa jua keadaan sekalipun untuk mendapat keredhaan dan kerahmatan Allah azzawajalla. Penulis akhiri dengan kata-kata Fudhail bin Iyadh;
“Sesungguhnya Allah tidak menerima seseuatu amalan melainkan amalan yang paling ikhlas dan betul yakni yang paling ikhlas adalah amalan yang ikhlas hanya untuk Allah dan yang paling betul ialah amalan yang bertepatan dengan syariat Allah s.w.t.”
Wallahuaalam.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Saya kerap singgah di laman ini untuk memerhatikan apa yang sahabat-sahabat Islam saya di Cawangan Hikmah Sibu lakukan di laman web atau blog mereka. Yang menonjol di sini adalah penggunaan sumber audio dan kalau tak silap stesyen radio untuk menyerikan ruangan blog. Oleh kerana kebetulan selalu mendengar Radio Islam Negara Brunei Darussalam (kerana saya bekerja/mencari rezeki di sini) saya cadangkan ada masanya radio milik Hikmah Cawangan Sibu ini di-set-kan stesyennya ke Radio Islam Brunei kerana isi kandungannya cukup menarik dan basic termasuk pelajaran sembahyang, doa dan kisah-kisah para Nabi. Untuk kita orang Hikmah yang ingin menyebarkan mesej yang asas kepada umat Islam di Sarawak isi kandungan Radio Islam Brunei cukup sesuai untuk keperluan kebanyakan ummat Islam Sarawak yang pengetahuan Islamnya masih di peringkat asas. Wabillahitaufikwalhidayah wasalamualaikum w.r.w.b.
AHAM

ibnuabdullah31@yahoo.com said...

waalaikumsalam,
jazakullah atas cadangan,insyaAllah semoga usaha yg kerdil ini mendapat berkah ALlah,amin..dalam mengkenteperori kan konsep dakwah di alam maya ini..